Saturday, 2 February 2008
Profesion Keguruan
I. TANGGUNGJAWAB TERHADAP PELAJAR
1. Lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.
2. Bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.
3. Merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
4. Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
5. Menunjukkan satu cara pakaian, pertuturan dan tingkahlaku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar.
6. Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.
II. TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPA
1. Menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
2. Berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumahtangga.
3. Menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
4. Memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.
5. Mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan eknonomi ibu bapa pelajar.
6. Mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.
III. TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA
1. Mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat, negara atau pun yang bertentangan dengan Rukun Negara.
2. Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
3. Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
4. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.
5. Memberi sumbangan cergas untuk meningkatkan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawan masyarakat.
6. Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan sehari-hari dengan baik.
IV. TANGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION KEGURUAN
1. Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai guru.
3. Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang beru dalam profesion keguruan.
5. Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion keguruan.
6. Akan menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.
Guru Oh Guru
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknyaPelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG1979
Subscribe to:
Posts (Atom)