Selamat Datang ke Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan St John (1) Kuala Lumpur

Tuesday 12 May 2009

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA HARI GURU 2009

PERUTUSAN HARI GURU
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2009
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera

Tuan-tuan dan puan-puan warga pendidik yang dihormati sekalian,

1. Alhamdullilah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, sekali lagi kita dapat menyambut perayaan Hari Guru pada 16 Mei 2009. Pada hari ini, kita akan bersama-sama merayakan hari yang amat istimewa bagi setiap warga pendidik. Semenjak tahun 1972, sambutan Hari Guru merupakan hari yang sangat bermakna buat kita bagi menghargai sumbangan, komitmen dan pengorbanan warga guru dalam pembinaan perpaduan dan integrasi, pembangunan Negara dan perkhidmatan kepada masyarakat untuk membentuk anak-anak bangsa menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

2. Sehubungan itu suka saya nyatakan di sini, tema sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu “Guru Pembina Negara Bangsa” amat sesuai dan bertepatan dengan tuntutan persekitaran yang menuntut pembangunan warganegara sejak awal persekolahan dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara serta menyanjung dan menjunjung warisan budaya juga kesenian bangsa. Dalam masa yang sama, anak-anak didik juga perlu dipersiapkan agar bersedia menghadapi cabaran dan ancaman globalisasi serta liberalisasi. Justeru, para guru perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik pada setiap masa bagi memenuhi keperluan dan harapan negara ke arah membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika serta memupuk dan menanamkan sifat toleransi dalam kalangan pelajar bagi melahirkan masyarakat bersatu padu yang harmoni dan bertolak ansur.

3. Saya percaya peranan guru sebagai jurutera sosial dan agen perubahan adalah sangat dituntut demi mencapai matlamat yang diingini oleh negara. Sebagaimana yang kita maklum, peranan guru bukan sahaja mengajar mata pelajaran yang ditugaskan tetapi juga mendidik minda dan membina sahsiah pelajar. Masa hadapan pelajar, malah masa hadapan bangsa dan negara adalah ditentukan oleh corak didikan yang disemai oleh guru-guru hari ini. Menyedari hakikat tersebut, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah menetapkan ‘Membina Negara Bangsa’ sebagai satu daripada enam teras utama bagi Negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Di bahu gurulah terletaknya tanggungjawab dan harapan untuk membangunkan modal insan dengan ciri-ciri individu dan masyarakat Bangsa Malaysia yang maju.

Guru-guru dan murid-murid yang dihormati sekalian,

4. Saya ingin menegaskan bahawa guru sebagai pendidik telah terbukti memainkan peranan utama dalam membina negara bangsa. Para guru perlulah berfikiran global dan bertindak secara terarah dengan menjadikan bidang keguruan sebagai wadah untuk membentuk warganegara dengan ciri-ciri individu dan masyarakat bangsa Malaysia. Adalah menjadi harapan masyarakat, para guru memainkan peranan membentuk jati diri murid yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat, seterusnya menjadikan anak didik sebagai warganegara glokal yang mampu bersaing seiring dengan kepesatan dunia. Justeru, negara akan hilang daya saing dan ketinggalan dari kemajuan global sekiranya para guru tidak menjalankan tugas secara jujur, ikhlas dan penuh tanggungjawab.


5. Dalam usaha meningkatkan perpaduan berbilang kaum, di peringkat awal persekolahan lagi kita telah memupuk jati diri murid melalui kurikulum, program ko-kurikulum dan sukan. Sehubungan itu, guru sebagai pendidik perlu memastikan diri mereka bersedia untuk berusaha lebih inovatif, proaktif, mampu mencipta kelainan dan menjadi contoh teladan yang baik untuk memupuk nilai-nilai jati diri kepada murid-murid menerusi proses pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini tentunya menuntut perancangan dan pelaksanaan yang cekap daripada para guru agar pendidikan mampu menjadi wahana perpaduan yang berkesan.

6. Di samping itu, kecekapan dan keberkesanan guru juga dituntut menerusi aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan semangat patriotik, menanamkan sifat hormat-menghormati dan peka terhadap sensitivity masyarakat pelbagai kaum. Pelaksanaan program-program ini menuntut kerjasama dan komitmen guru untuk menerapkan elemen perpaduan dan ini membuktikan bahawa sekolah adalah tapak semaian yang terbaik untuk menyuburkan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan selama ini. Saya percaya para guru akan sentiasa berusaha dan beriltizam untuk melonjakkan kecemerlangan sistem pendidikan agar ianya mampu melahirkan negara bangsa mengikut acuan kita.

7. Seterusnya dalam dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar ini, negara amat memerlukan modal insan berkualiti yang boleh menggalas aspirasi serta misi nasional ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Dalam konteks ini, sebagai pendidik yang berdedikasi dan sentiasa bersedia menerima perubahan, guru adalah pemangkin kepada transformasi yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran dalam memenuhi agenda pendidikan ke arah melahirkan modal insan yang memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang bermatlamat melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

Guru-guru dan murid-murid yang dihormati sekalian,

8. Akhir kata sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya berharap agar warga guru hendaklah sentiasa mempunyai sifat dedikasi dan komited semasa menjalankan tugas masing-masing. Segala yang tuan-tuan dan puan-puan lakukan adalah demi kepentingan pendidikan

anak-anak kita, demi melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berketerampilan. Ketepikan kepentingan diri, berkhidmatlah dengan penuh jujur dan ikhlas serta sentiasa menjaga integriti dan nama baik. Sekiranya warga guru tidak mempunyai integriti dan keikhlasan yang tinggi, bagaimana kita mengharapkan generasi yang baik dan berkualiti hasil daripada acuan didikan kita akan dapat dikeluarkan.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi
Wabarakatuh dan salam sejahtera. Selamat Hari Guru.

DATO’ HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

UCAPAN MENTERI PELAJARAN HARI GURU 2009

PERUTUSAN SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2009
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

1. Marilah kita semua merafakkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru bagi tahun 2009. Pada tanggal 16 Mei setiap tahun seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai penghormatan jasa kaum guru dan tanda ucapan terima kasih kepada mereka. Penghormatan ini amat layak diberikan kerana usaha gigih guru dalam mendidik insan merupakan peranan yang mulia. Pembangunan diri insan yang cemerlang akan menentukan matlamat pembinaan sebuah negara yang maju dan aman akan dapat kita capai.

2. Menyedari pentingnya pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, Kementerian Pelajaran telah memilih “Guru Pembina Negara Bangsa” sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Keupayaan membina Negara Bangsa amat bergantung kepada keutuhan perkongsian nilai serta semangat patriotisme yang dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan semua lapisan rakyat, terutama dalam kalangan generasi muda. Menerusi semangat patriotisme, bangsa akan menjadi kuat, berani, mempunyai kekuatan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan negara. Nilai sosial seperti semangat kekitaan, perasaan saling hormat-menghormati, mengamalkan sifat toleransi, taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap negara wajarlah dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya budaya hidup masyarakat.

3. Matlamat kerajaan untuk membina sebuah Negara Bangsa adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia; rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat 1 Malaysia ialah membina sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak
ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing.

4. Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya yakin dan percaya perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat diperkukuhkan. Perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara. Oleh itu ianya perlu diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap orang. Kementerian Pelajaran akan terus menyokong pembinaan Negara Bangsa bagi memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangssan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi cabaran globalisasi.

5. Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran; serta membentuk akhlak dan jati diri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang.

6. Membina Negara Bangsa merupakan Teras Strategik yang pertama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006- 2010. Bagi menjayakan Teras Strategik ini, pelbagai program dan projek yang berkaitan dengan kebahasaan, kesusasteraan, patriotik, serta seni, warisan dan budaya telah dirancang oleh pihak Kementerian. Ia bertujuan untuk memperkukuh perpaduan bangsa, membina identiti nasional, memperteguh semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bagi mengisi keperluan negara. Semoga, dengan jati diri yang kental dan semangat patriotik yang tebal, akan lahirlah bangsa Malaysia yang utuh dan bermaruah.

7. Tugas membina negara bangsa melalui pendidikan tidak akan selesai. Sebaliknya ia semakin kompleks dan mencabar selaras dengan kemajuan yang tidak terbatas pada masa kini. Saya menyeru kepada semua guru supaya mempertingkatkan diri dengan ilmu dan kemahiran supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi role model kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang membina negara bangsa kerana Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru.

8. Kepada Kerajaan Pusat, jutaan terima kasih diucapkan atas keprihatinan dan sokongan padu yang sentiasa diberi kepada Kementerian Pelajaran. Malah, dalam kemuraman ekonomi dunia yang mana Malaysia turut merasai bahangnya, kepentingan pendidikan tetap diutamakan. Suntikan RM200 juta kepada Kementerian Pelajaran dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang pertama, diikuti RM2.093 bilion lagi melalui Pakej Rangsangan Kedua merupakan bukti kukuh betapa komitednya pihak Kerajaan dalam memastikan pembangunan pendidikan terus berjalan seperti yang dirancang dan disasarkan.

9. Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan kita akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.

“Selamat Menyambut Hari Guru”

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum

warahmatullahi wabarakatuh. Selamat Menyambut Hari Guru.

TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN