PERUTUSAN SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2009
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
1. Marilah kita semua merafakkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru bagi tahun 2009. Pada tanggal 16 Mei setiap tahun seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai penghormatan jasa kaum guru dan tanda ucapan terima kasih kepada mereka. Penghormatan ini amat layak diberikan kerana usaha gigih guru dalam mendidik insan merupakan peranan yang mulia. Pembangunan diri insan yang cemerlang akan menentukan matlamat pembinaan sebuah negara yang maju dan aman akan dapat kita capai.
2. Menyedari pentingnya pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, Kementerian Pelajaran telah memilih “Guru Pembina Negara Bangsa” sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Keupayaan membina Negara Bangsa amat bergantung kepada keutuhan perkongsian nilai serta semangat patriotisme yang dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan semua lapisan rakyat, terutama dalam kalangan generasi muda. Menerusi semangat patriotisme, bangsa akan menjadi kuat, berani, mempunyai kekuatan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan negara. Nilai sosial seperti semangat kekitaan, perasaan saling hormat-menghormati, mengamalkan sifat toleransi, taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap negara wajarlah dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya budaya hidup masyarakat.
3. Matlamat kerajaan untuk membina sebuah Negara Bangsa adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia; rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat 1 Malaysia ialah membina sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak
ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing.
4. Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya yakin dan percaya perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat diperkukuhkan. Perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara. Oleh itu ianya perlu diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap orang. Kementerian Pelajaran akan terus menyokong pembinaan Negara Bangsa bagi memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangssan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi cabaran globalisasi.
5. Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran; serta membentuk akhlak dan jati diri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang.
6. Membina Negara Bangsa merupakan Teras Strategik yang pertama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006- 2010. Bagi menjayakan Teras Strategik ini, pelbagai program dan projek yang berkaitan dengan kebahasaan, kesusasteraan, patriotik, serta seni, warisan dan budaya telah dirancang oleh pihak Kementerian. Ia bertujuan untuk memperkukuh perpaduan bangsa, membina identiti nasional, memperteguh semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bagi mengisi keperluan negara. Semoga, dengan jati diri yang kental dan semangat patriotik yang tebal, akan lahirlah bangsa Malaysia yang utuh dan bermaruah.
7. Tugas membina negara bangsa melalui pendidikan tidak akan selesai. Sebaliknya ia semakin kompleks dan mencabar selaras dengan kemajuan yang tidak terbatas pada masa kini. Saya menyeru kepada semua guru supaya mempertingkatkan diri dengan ilmu dan kemahiran supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi role model kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang membina negara bangsa kerana Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru.
8. Kepada Kerajaan Pusat, jutaan terima kasih diucapkan atas keprihatinan dan sokongan padu yang sentiasa diberi kepada Kementerian Pelajaran. Malah, dalam kemuraman ekonomi dunia yang mana Malaysia turut merasai bahangnya, kepentingan pendidikan tetap diutamakan. Suntikan RM200 juta kepada Kementerian Pelajaran dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang pertama, diikuti RM2.093 bilion lagi melalui Pakej Rangsangan Kedua merupakan bukti kukuh betapa komitednya pihak Kerajaan dalam memastikan pembangunan pendidikan terus berjalan seperti yang dirancang dan disasarkan.
9. Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan kita akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.
“Selamat Menyambut Hari Guru”
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum
warahmatullahi wabarakatuh. Selamat Menyambut Hari Guru.
TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
No comments:
Post a Comment