Selamat Datang ke Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan St John (1) Kuala Lumpur

Tuesday, 1 April 2008

Kurikulum Pendidikan Negara perlu berorientasikan masa depan

KUALA LUMPUR 30 Mac – Kurikulum Pendidikan Negara perlu berorientasikan Kurikulum Masa Depan agar apa yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara mempunyai matlamat yang jelas bagi membentuk generasi masa depan yang lebih baik serta dapat mengelakkan pembaziran kos, tenaga dan sumber, kata seorang sarjana hari ini. Prof. Saedah Siraj dari Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) berkata, adalah penting bagi penggubal kurikulum pendidikan mengenal pasti perkara besar yang kemungkinan akan berlaku pada masa depan terutamanya yang ada kaitannya dengan pendidikan manusia.

“Analisis serta pemerhatian masa depan secara saintifik perlu dilakukan terhadap arah aliran nasional dan global pada masa depan yang ada kaitannya dengan pendidikan manusia, sosio-ekonomi, politik, sumber manusia dan sumber tenaga, pertanian serta pertahanan,” katanya dalam buku bertajuk Kurikukum Masa Depan terbitan Universiti Malaya. Beliau berkata dengan adanya data Kurikulum Masa Depan, ia akan dapat membantu sesebuah institusi atau negara membuat pelbagai persediaan termasuk kewangan, infrastruktur dan sumber manusia untuk mencapai matlamat masing-masing.

Prof. Saedah berkata, kajian Kurikulum Masa Depan boleh dijadikan pengimbang untuk menolak mana-mana dasar ataupun pelaksanaan kurikulum yang boleh merosakkan atau merugikan generasi masa depan dan negara. Katanya, data daripada kajian itu juga dapat menyediakan satu kurikulum yang berupaya menangani keperluan mendadak dalam masyarakat kini dan masa depan di samping menjadikan generasi muda sekarang sebagai individu berpendidikan serta berpandangan luas untuk kehidupan yang lebih selesa.

Beliau berkata, apabila para perancang dan penggubal kurikulum mempunyai latar belakang Kurikulum Masa Depan, mereka akan dapat merancang konsep kurikulum yang berteraskan kepada budaya bangsa dan negara serta dapat diterima akal dan berakhlak. “Ini kerana mereka bukan sahaja telah mengetahui dengan mendalam, malahan dapat menganalisis asas-asas falsafah negara, keperluan generasi muda masa kini dan juga penyelesaian permasalahan,” katanya. Prof. Saedah berkata, dengan menggunakan pendekatan futuristik, termasuk mengenal pasti arah aliran semasa dan membuat jangkaan perubahan pada masa depan, maka para perancang dan penggubal kurikulum tidak akan menghadapi sebarang krisis untuk memilih dasar dan matlamat pendidikan untuk masa depan.

“Sebaliknya kepincangan pendidikan akan terlihat apabila dasar kurikulum tidak menjangkau jauh ke hadapan menerusi pendekatan futuristik,” tegas beliau. Dalam buku setelah 200 muka surat itu, Saedah juga menyentuh disiplin pelajar pada masa depan yang menurutnya semakin mencabar ekoran perkembangan sains dan teknologi yang menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan hiburan yang melalaikan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm

Kokurikulum bentuk kecergasan minda pelajar

BENTONG 30 Mac – Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti kokurikulum kerana ia mampu membentuk kecergasan minda serta melatih pelajar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, selain sebagai prasyarat untuk memasuki universiti, aktiviti kokurikulum sangat berguna untuk membentuk pelajar menjadi insan yang berjaya.

Katanya, kelulusan akademik semata-mata bukan jaminan untuk menjadi seseorang insan itu berjaya dengan cemerlang apabila memasuki dunia pekerjaan, tetapi aktiviti kokurikulum akan menjadikan mereka lebih berkeyakinan untuk berhadapan dengan masyarakat. ‘‘Oleh itu, saya berharap ibu bapa tidak menganggap aktiviti kokurikulum sebagai sesuatu yang membebankan,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Rias dekat sini hari ini.

Sebaliknya, katanya lagi, ia adalah kegiatan yang boleh meningkatkan kebolehan dan keyakinan diri anak-anak mereka. Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong seterusnya berkata, kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan bertujuan melahirkan lebih ramai rakyat berilmu untuk memenuhi peluang pekerjaan dan pembangunan negara. Katanya, berbanding dahulu, terdapat hanya lima universiti awam di negara ini, tetapi kini meningkat kepada 25 buah dengan 18 universiti swasta dan lebih 250 buah kolej swasta yang diiktiraf oleh kerajaan.

Menurutnya, ini membuktikan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh mahu melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing dengan mewujudkan lebih banyak peluang pembelajaran kepada rakyat. Oleh itu, katanya, tiada alasan bagi ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak mereka belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Tambah beliau, ibu bapa perlu memastikan bahawa anak-anak mereka tidak tercicir daripada persekolahan kerana hanya dengan pendidikan, seseorang boleh bersaing dan menjamin masa depan.


‘‘Peluang yang disediakan kerajaan hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin kerana tiada negara di dunia seperti Malaysia yang menyediakan peruntukan besar dalam pendidikan,” katanya. Kerajaan, tambahnya, bukan sahaja menumpukan kepada bidang pendidikan, malah berusaha meningkatkan tahap kesihatan supaya rakyat dapat mempertingkatkan taraf hidup mereka.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm