BENTONG 30 Mac – Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti kokurikulum kerana ia mampu membentuk kecergasan minda serta melatih pelajar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, selain sebagai prasyarat untuk memasuki universiti, aktiviti kokurikulum sangat berguna untuk membentuk pelajar menjadi insan yang berjaya.
Katanya, kelulusan akademik semata-mata bukan jaminan untuk menjadi seseorang insan itu berjaya dengan cemerlang apabila memasuki dunia pekerjaan, tetapi aktiviti kokurikulum akan menjadikan mereka lebih berkeyakinan untuk berhadapan dengan masyarakat. ‘‘Oleh itu, saya berharap ibu bapa tidak menganggap aktiviti kokurikulum sebagai sesuatu yang membebankan,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Rias dekat sini hari ini.
Sebaliknya, katanya lagi, ia adalah kegiatan yang boleh meningkatkan kebolehan dan keyakinan diri anak-anak mereka. Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong seterusnya berkata, kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan bertujuan melahirkan lebih ramai rakyat berilmu untuk memenuhi peluang pekerjaan dan pembangunan negara. Katanya, berbanding dahulu, terdapat hanya lima universiti awam di negara ini, tetapi kini meningkat kepada 25 buah dengan 18 universiti swasta dan lebih 250 buah kolej swasta yang diiktiraf oleh kerajaan.
Menurutnya, ini membuktikan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh mahu melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing dengan mewujudkan lebih banyak peluang pembelajaran kepada rakyat. Oleh itu, katanya, tiada alasan bagi ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak mereka belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Tambah beliau, ibu bapa perlu memastikan bahawa anak-anak mereka tidak tercicir daripada persekolahan kerana hanya dengan pendidikan, seseorang boleh bersaing dan menjamin masa depan.
‘‘Peluang yang disediakan kerajaan hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin kerana tiada negara di dunia seperti Malaysia yang menyediakan peruntukan besar dalam pendidikan,” katanya. Kerajaan, tambahnya, bukan sahaja menumpukan kepada bidang pendidikan, malah berusaha meningkatkan tahap kesihatan supaya rakyat dapat mempertingkatkan taraf hidup mereka.
No comments:
Post a Comment