Selamat Datang ke Blog Rasmi Sekolah Kebangsaan St John (1) Kuala Lumpur

Tuesday 9 June 2009

Pembabitan PIBG Perlu Bendung Jenayah Pelajar

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Tahap disiplin di sesebuah sekolah perlu dikaji semula kerana masih banyak ruang dan kelemahan yang perlu diperbaiki, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye. Beliau berkata pengetua dan guru besar sekolah perlu lebih serius mengkaji semula aspek disiplin sekolah masing-masing untuk mengenal pasti kaedah dan cara untuk meningkatkannya.

"Pengetua sekolah perlu melihat sejauh mana tahap disiplin di sekolah mereka kerana ada asas pada keperluan tersebut dan kita tidak mahu keadaan menjadi bertambah serius," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Rabu.

Beliau mengulas mengenai kejadian pukul dan belasah di kalangan pelajar samseng yang dilihat semakin meningkat akhir-akhir ini.

Terbaru, kejadian yang amat menyayat hati menimpa seorang pelajar tingkatan empat, Mohd Azlin Mohamad, 16, apabila dibelasah sekumpulan 24 remaja samseng di Cheras sehingga mati.

Kejadian pada 13 Feb lepas dikatakan berlaku hanya disebabkan perkara yang amat remeh, iaitu perebutan teman wanita.

Lam Thye berkata mutu guru disiplin juga perlu dipertingkatkan bagi memberi kesedaran kepada pelajarnya.

"Kaunseling perlu ditingkatkan, guru kaunseling berperanan dalam memberi kesedaran bahawa setiap pelajar yang terlibat dalam jenayah tidak terlepas dari undang-undang walaupun berumur bawah 18 tahun," katanya.

Pihak sekolah juga perlu menghubungi pegawai polis yang dilantik sebagai pegawai perhubungan di sekolah bagi memberi nasihat dan teguran kepada pelajar-pelajar bermasalah.

Katanya, ibu bapa perlu sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengetahui perkembangan tingkah laku anak mereka.

"MCPF juga telah mewujudkan kelab pencegahan jenayah di sekolah, lepas ini perlu libatkan aktiviti-aktiviti yang lebih aktif," katanya.

Bagi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Bakri Zinin, orang yang paling tepat membincangkan permasalahan jenayah di kalangan anak atau pelajar adalah ibu bapa dan guru-guru.

"Walaupun tugas polis menjaga keselamatan dan membanteras jenayah, namun apabila bercakap mengenai jenayah di kalangan pelajar sekolah, orang yang paling tepat untuk mengenal pasti akar umbi berlakunya perkara itu adalah ibu bapa dan guru itu sendiri," katanya.

Bakri berkata di pihak polis sendiri, secara agresifnya telah melakukan pemantauan, risikan, sesi ceramah berkaitan jenayah dan menghantar pegawai perhubungan awamnya setiap bulan ke sekolah bagi mengenal pasti kewujudan jenayah.

"Pada peringkat polis, perkara itu dianggap memadai," katanya.

Beliau berpendapat perbincangan secara kerap melalui mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) perlu dilakukan kerana ia membolehkan mereka mengesan aktiviti dan permasalahan jenayah yang wujud.

Beliau berkata masyarakat juga boleh menjadi penyebab utama sekiranya mereka yang menyaksikan perkara jenayah ini, tidak melaporkannya kepada pihak polis, atas alasan tidak mahu masuk campur.

Katanya, perkara (jenayah) di kalangan pelajar tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dihapuskan dengan sekelip mata, sebaliknya ia memerlukan penglibatan dan usaha keras pelbagai pihak.

Sementara itu penceramah bebas yang terlibat secara aktif di sekolah-sekolah, Mohd Yunus Mohd Ali berkata guru perlu lebih sensitif dengan masalah yang dihadapi pelajar agar ia tidak menjadi lebih serius.

Katanya dari soal selidik, ramai pelajar yang mendakwa aduan mereka kepada guru-guru sering tidak diendahkahkan hingga ia berlarutan dan menjadi lebih besar hingga kepada kes jenayah.

Katanya banyak masalah disiplin pelajar yang berlaku telah bermula sejak di sekolah rendah lagi.

Jenayah samseng di kalangan pelajar perlu dibendung pada peringkat awal lagi kerana jika tidak, ia dibimbangi keadaan akan menjadi lebih teruk.

"Anda jangan terkejut sekiranya samseng-samseng di kalangan remaja ini, akan menjadi suspek yang amat dikehendaki polis suatu hari nanti," katanya.

-- BERNAMA

No comments: